Tuesday, August 14, 2007

Tokoh AHMAD BOESTAMAM

Ahmad Boestamam (30 November 1920 - 19 Januari 1983; nama asal: Abdullah Sani Raja Kechil) adalah seorang aktivis politik antipenjajahan yang berbakat besar pada zaman Tanah Melayu ditakluk oleh pihak British. Selain daripada bergiat dalam politik, beliau juga berjaya menghasilkan tidak kurang daripada 15 buah novel.
Antara bukunya ialah Sorotan Sekilas yang diterbitkan pada 1981.

Masa kecil

Dilahirkan kepada Raja Kechil, seorang petani, dan Rasiah, Ahmad dibesarkan di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak. Beliau mempunyai dua orang kakak, iaitu Rasunin dan Ramlah. Pada usia enam tahun, Ahmad memasuki Sekolah Melayu Behrang Ulu, sebuah sekolah Melayu and kemudiannya, pada tahun 1933, beliau memasuki Anderson School, Ipoh. Ahmad tamat Darjah Lima dan lulus dengan Gred 1 dalam peperiksaan Kelas Melayu Khas ("Special Malay Class", SMC).

Kerjaya

Seperti kebanyakan para aktivis politik yang sezaman dengannya, Ahmad adalah seorang wartawan akhbar yang sangat prolifik. Beliau berpindah dari sebuah akhbar ke akhbar lain untuk mencari pengalaman dan pendedahan yang sangat berguna bagi merangsang minat dan cita-cita politiknya. Pekerjaannya itu juga menjadikan beliau bertembung dan bergaul dengan tokoh-tokoh wartawan Melayu lain seperti Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Hj. Muhammad.

Kegiatan Ahmad dalam bidang kewartawanan ini telah menyebabkan beliau terlibat dalam arus kerancakan nasionalisme Melayu yang sedang memuncak pada tahun 1930-an. Beliau telah turut sama memberi pendapat dan cadangannya bagi memperbaiki kelemahan ekonomi, sosial dan politik orang Melayu daripada tekanan kerajaan British dan saingan kaum pendatang. Walaupun tulisannya tidak setajam rakan-rakannya yang lain, tetapi beliau telah melahirkan pendapatnya dalam nada dan pendapat yang sama dengan mereka. Persamaan harapannya untuk memajukan orang Melayu sudah cukup untuk membolehkan beliau terlibat secara langsung dalam kegiatan nasionalisme orang Melayu.

Kesatuan Melayu Muda (KMM)

Kepentingan Ahmad dalam kegiatan politik bermula dengan penglibatannya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai Penolong Setiausaha semasa menjadi pemberita khas di Kuala Lumpur bagi Warta Malaya yang dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaacob. Walaupun beliau hanya menjadi orang yang keempat penting dalam organisasi yang menjadi ejen Jepun, tetapi ini tidak dipandang ringan oleh kerajaan British. Ahmad dianggap sebagai seorang aktivis politik antipenjajahan yang berbakat besar.

Penangkapan bersama-sama dengan 150 orang anggota dan penyokong KMM memulakan kehidupan getir Ahmad sebagai seorang aktivis politik. Beliau telah menjadi lebih terdedah kepada tekanan penjajah, yang secara langsung memberi satu pemantapan kepada sikap antipenjajahannya. Ini menjadi satu mungkin kepada semangatnya untuk terus bergiat dalam politik.

Gerakan Kiri Tanah Air (KITA)

Ahmad seorang perancang politik yang bijak. Beliau telah menubuhkan Gerakan Kiri Tanah Air (KITA) yang bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya dan British yang sedang berusaha memerangi tentera Jepun. Walaupun penubuhan ini dipaksakan kepadanya oleh MPAJA, tentera Parti Komunis Malaya, tetapi ia juga menjadi satu bukti kepada kerjasama Ahmad dengan kumpulan anti-Jepun. Ini boleh digunakan sebagai bukti untuk menafikan kerjasama sepenuhnya dengan Jepun.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)

Ahmad kemudian menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). PKMM yang mahu menguasai Tanah Melayu dengan cara perlembagaan telah membentuk satu "Barisan Bersatu Malaya" untuk mempengaruhi parti-parti politik Melayu dan kesatuan sekerja India. Penyerapan unsur PKM ke dalam masyarakat ini dipercayai dapat memperkenalkan mereka dengan gagasan sosialisme dan seterusnya komunisme. Dengan itu, cita-cita untuk membentuk sebuah republik komunis di Tanah Melayu akan menjadi lebih mudah.

Dengan itu, Ahmad telah bekerjasama secara sedar dengan pihak PKM yang juga bersifat penjajahan ke atas Tanah Melayu. Ini kerana PKM adalah anak Parti Komunis China yang bekerjasama dengan Comintern, iaitu pertubuhan komunis antarabangsa yang berada di bawah pengaruh Russia.

Ahmad membenarkan PKM mempengaruhi PKMM. Ini bukan sahaja kerana pentadbiran Tanah Melayu berada di bawah penguasaan PKM, tetapi juga kerana bantuan kewangan dan pengurusan surat khabarnya, Suara Rakyat dan Voice of the People dipegang oleh PKM. Teraju utama, iaitu Presiden PKMM juga dikuasai oleh PKM, melalui Mokhtaruddin Lasso, seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia (PKI) yang menjadi ketua orang Melayu Regimen ke-10 MPAJA.

Akhirnya, PKM menentukan dasar politik PKMM. Dasar politik untuk melindungi dan berjuang bagi mewujudkan perasaan kebangsaan, memajukan ekonomi, pelajaran dan keadilan bagi masyarakat Melayu telah diubah oleh PKM. PKM juga telah meletakkan satu dasar yang penting yang melambangkan pembentukan sebuah bangsa "Malayan", sesuai dengan dasarnya mewujudkan Barisan Bersatu Malayan pada masa depan. Dengan itu, dasar PKMM tidak lagi bersifat Melayu seratus peratus. Ia telah disesuaikan dengan cita-cita PKM.

Ahmad menyedari hal tersebut, maka untuk mengimbangi pengaruh politik PKM, dalam persidangan yang diadakan pada 30 November 1945, dasar membentuk Melayu Raya atau Indonesia Raya, telah dimasukkan sebagai salah satu matlamat perjuangan PKMM. Malah dasar ini memang sengaja ditonjolkan begitu hebat oleh Ahmad dan kumpulannya demi untuk mengelakkan pandangan orang ramai terhadap penguasaan PKM dalam PKMM. Ini juga telah membolehkan runan Indonesia yang menetap di Tanah Melayu.

Ahmad disokong oleh PKM. PKM telah membangkitkan pula soal tidak demokratik UMNO kerana memberi dua sahaja undi kepada PKMM, seperti persatuan negeri-negeri Melayu yang lain, yang dikatakannya lebih kecil daripada PKMM. PKM juga menuduh UMNO sebuah parti yang konservatif dan tidak menggunakannya sebagai biasiswa kepada anak-anak Melayu, dianggapnya remeh.

Kerajaan British telah meyokong UMNO. Bagi kerajaan British, UMNO adalah sebuah parti politik yang lebih sederhana, tidak dipengaruhi sebarang unsur luar yang mengancam kedudukan politik dan ekonominya serta tidak mempunyai sejarah penentangan terhadap pihak British, seperti PKMM yang dipimpin oleh beberapa orang bekas anggota KMM. UMNO juga direstui oleh raja-raja Melayu yang merupakan lambang ketuanan orang Melayu. Sokongan raja-raja Melayu kepada UMNO sangat penting diakui kerana raja-raja Melayu merupakan ketua kerajaan negeri yang membuat perjanjian dengan kerajaan British. Kebijaksanaan UMNO menarik raja-raja Melayu memihak kepada mereka telah memerangkap kerajaan British untuk mengakui kepentingan UMNO.

Sekali lagi Ahmad Boestamam dan PKMM telah dipengaruhi oleh PKM untuk menubuhkan PUTERA, sebagai satu badan radikal Melayu yang besar bagi bergabung dengan AMCJA, sebuah gabungan parti politik bukan Melayu yang juga dipengaruhi oleh PKM. Kedua-dua organisasi kemudian menjadi penentang yang penting kerana telah mengeluarkan Perlembagaan Rakyat sebagai satu perlembagaan pilihan kepada orang ramai, selain Perjanjian Persekutuan 1948 yang disediakan oleh UMNO raja-raja Melayu dan kerajaan British.

Dengan mempunyai satu dasar yang tidak bertumpu kepada kepentingan orang Melayu sepenuhnya, bererti Ahmad Boestamam dan PKMM telah bertentang arus dengan nasionalisme Melayu pada tahun 1946. Ini kerana penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union adalah kemuncak gerakan nasionalisme mereka selama ini. Gerakan nasionalisme Melayu yang bermula begitu lambat dan tidak begitu mencabar kerajaan British telah menjadi cukup tegang dengan pengenalan Malayan Union. Ini kerana gerakan anti-Malayan Union itu telah membangkitkan kesedaran politik yang cukup jelas sehingga melibatkan kaum wanita yang selama ini tertutup dengan peranan tradisional mereka. Pengenalan Malayan Union telah menyatupadukan orang Melayu, bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga raja-raja Melayu dan para pembesar tradisional yang selama ini terpisah dengan rakyat jelata. Penentangan itu merupakan satu gerakan yang telah mencabar kerajaan British sehingga terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.

Pada Februari 1946, ketika semangat menuntut kemerdekaan sedang meluap-luap, Ahmad bersama dengan Dr Burhanuddin Al Helmi juga menubuhkan Angkatan Pemuda Insaf (API), sebuah pergerakan kiri yang radikal di Malaya dan memimpinnya sehingga pertubuhan itu diharamkan oleh pihak British.

Penangkapan Ahmad pada bulan Julai tahun 1948 membekukan kegiatan politik Ahmad untuk satu tempoh yang panjang, iaitu selama tujuh tahun. Beliau terpaksa ditahan begitu lama kerana berbahaya kepada keselamatan politik British di Tanah Melayu dan kawasan sekitarnya, iaitu Nusantara. Pengisytiharan undang-undang darurat juga digunakan untuk kerajaan British mengawal anasir PKM dan sekutunya, termasuk PKMM dan anak buahnya. Ahmad dianggap sebagai sebahagian daripada tenaga penggerak yang berbahaya. Beliau ditahan oleh British dua kali. Kali pertama sejurus sebelum kedatangan Jepun pada tahun 1941 selama tiga bulan.

Parti Rakyat Malaya (PRM)

Parti Rakyat Malaya telah menjadi parti politiknya yang pertama sebaik-baik sahaja beliau dibebaskan pada tahun 1955. Beliau telah menjadi pemimpin pembangkang Melayu dengan menggunakan ideologi sosialisme-marhaeni sme ciptaan Sukarno. Dengan bekerjasama dengan Parti Buruh Malaya, beliau berjaya membentuk Socialist Front (SF) yang akhirnya menjadi salah satu parti pembangkang yang terkenal selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Pilihan raya tahun 1959 telah memberi satu pengiktirafan kepada kegiatan politik Ahmad selama ini. Beliau telah memenangi kerusi parlimen Setapak di bawah tiket Socialist Front. Dengan itu, Ahmad telah menjadi salah seorang anggota pembangkang yang disegani, bersama-sama dengan tokoh-tokoh nasionalis dan politik Melayu yang lain seperti Dato' Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin, Khadijah Sidek, Zulkifli Mohammad dan Othman Abdullah. Tokoh-tokoh pembangkang bukan Melayu yang handal seperti Dr. Seenivasagam, Tan Chee Koon dan Lim Kean Siew telah berganding bahu dengan Ahmad dan rakan-rakan yang lain. Kehadiran Ahmad Boestamam dan kawan-kawannya itu menjadikan kerajaan perikatan terpaksa bekerja keras untuk menentang mereka di Dewan Rakyat. Kehadiran mereka memang sangat menarik dalam sejarah politik berparlimen di Malaysia.

Ahmad ditangkap pada tahun 1963, buat kali ketiga dalam sejarah hidup politiknya. Pada kali ini Ahmad ditangkap oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat sendiri selama empat tahun. Alasan kerajaan Perikatan ialah kerana Ahmad terlibat dalam usaha Indonesia menentang gagasan Malaysia yang sedang diusahakan oleh Tunku Abdul Rahman, ketua kerajaan Perikatan dan Perdana Menteri Malaysia. Ahmad dituduh bekerjasama dengan Parti Komunis Indonesia (PKI) dan terlibat dalam pemberontakan Brunei pada tahun 1962. Tuduhan ini sangat menarik kerana ia menimbulkan dua gambaran yang sangat penting. Pertama, ternyata Ahmad seorang penyokong Indonesia yang sangat setia dan tetap. Kedua, penonjolan satu penglibatan politik Ahmad yang menyeluruh Kepulauan Melayu atau Nusantara. Ini bermakna bahawa Ahmad mahu menjadi juara Melayu Raya.

Pengembalian kepada kerjaya wartawan

Penglibatan Ahmad dalam politik Malaysia menjadi hambar selepas itu. Beliau tidak lagi berkesan walaupun cuba bangun memimpin parti politik yang baru dan bekerjasama dengan tokoh-tokoh bukan Melayu. Beliau terpaksa membawa diri ke Sarawak dengan menjadi pembantu Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakub dan penulis akhbarnya. Oleh sebab itu, Ahmad dianugerahi gelaran "Datuk" oleh Gabenor Sarawak. Walaupun gelaran itu satu pengiktirafan kepada peranannya selama ini dalam kegiatan politik Malaysia sebelum perang dan selepas merdeka. Ia sebenarnya satu ironi kepada ideologinya yang radikal selama ini. Akhirnya, Ahmad mengakui sistem tradisional Melayu yang masih bersifat feudalisme.

Ahmad mengakhiri sisa-sisa hidupnya dengan menjadi penulis bebas di akhbar-akhbar sebagai perintang waktu dan sedikit pendapatan untuk menyara kehidupannya. Dua tahun selepas menunaikan fardu haji, beliau meninggal dunia pada tahun 1983 kerana sakit kanser paru-paru. Dengan itu, maka tamatlah perjalanan hidup seorang tokoh politik yang sangat dinamik dan menarik yang telah memberi warna-warna garang dan terang serta corak yang berliku-liku dalam kehidupannya dan politik Malaysia khasnya. Kepentingan beliau dalam sejarah politik Malaysia tidak akan dilupakan.

Jawatan yang disandang

Antara jawatan yang pernah disandang oleh Ahmad Boestamam ialah :
  • Penulis pojok akhbar "Saudara";
  • Anggota Persatuan Melayu Perak (PMP) pada tahun 1937;
  • Penolong Setiausaha Kesatuan Melayu Muda (KMM);
  • Pengasas Gerakan Kiri Tanah Air (KITA);
  • Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API);
  • Pengasas Parti Kebangsaan Melayu Melaya (PKMM);
  • Ketua pengarang akhbar harian, "Suara Rakyat";
  • Ketua Pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM);
  • Pemimpin Parti Rakyat Malaya (PRM) pada tahun 1955;
  • Setiausaha Kehormat Kongres pada tahun 1957;
  • Ahli Dewan Rakyat pada tahun 1959-1963.

Hasil Penulisan

  1. Kabus pagi. Singapura: Geliga, 1958.
  2. Pacar merah Malaya. Singapura: Halmy, 1948.
  3. Gelap menjelang terang. Singapura: Geliga, 1956.

Tokoh YAP AH LOY


Jejak: KL dibina dengan titis darah

Susunan Nasron Sira Rahim

Yap Ah Loy gubal peraturan ketat, susun struktur penempatan awal hingga kawasan lombong timah membangun jadi bandar raya

MENYUSURI jalan yang dipenuhi deretan rumah kedai di pekan besar itu, Yap Tet Loy, 47, mampu tersenyum dan menghela nafas puas melihat keriuhan dan kesibukan orang ramai bergerak ke sana sini menjalankan pelbagai urusan.

Suatu ketika dulu, dia sendiri tidak menyangka bahawa kedatangannya ke negara asing itu bakal membawa perubahan besar terhadap kehidupan dirinya sendiri khususnya keadaan di pekan besar itu.

Mengimbau kenangan lalu, masih diingat kelibat seorang remaja naif berusia 17 tahun yang menumpang jong membelah samudera luas menuju horizon yang tidak pernah dijejaki. Ketika itu dia cuma mengharapkan kehidupannya akan menjadi lebih baik di tanah orang. Sejak kecil, dia melihat sendiri betapa sukarnya meneruskan kehidupan di tanah kelahirannya, sebuah kampung digelar Tam Shui di daerah Kwai Yap , Guangdong , China . Ketika dilahirkan pada 14 Mac 1837, Dinasti Qing sudah mengalami zaman kejatuhannya.

Ketika dia berusia tiga tahun pula, Perang Candu antara China dan Britain tercetus di Dongyuan Wumen, tidak jauh dari kampungnya menyebabkan dia serta penduduk kampung membesar ditemani kesusahan. Justeru, mungkin menyedari bahawa kehidupan di kampungnya tidak menjanjikan sebarang harapan indah, Yap mengambil keputusan untuk turut menyertai penduduk negara itu berhijrah mencari sinar kehidupan di tanah asing.

Berbekalkan 80 syiling gangsa, dia menaiki jong dari Macau menuju Melaka, suatu tempat yang amat asing baginya. Nasibnya dipertaruhkan bak pepatah untung sabut timbul di permukaan air atau mungkin untung batu, tenggelam.

Kini, watak remaja naif itu sudah jauh ditinggalkan waktu. Tiga puluh dua tahun mengubah kehidupannya. Daripada harapan menggunung, ditemani pelbagai pengalaman, senyuman dan titisan darah, dia berjaya membawa sumbangan besar kepada tanah asing itu.

YAP Ah Loy

Daripada pekan kecil yang dikelilingi hutan dan lombong, Yap Tet Loy atau lebih dikenali sebagai Yap Ah Loy oleh ramai pihak memimpin penduduk Pengkalan Lumpur ( Kuala Lumpur ) yang kebanyakannya pelombong Cina membangunkan kawasan itu.

Seterusnya daripada pekan kecil, dia menggubal pelbagai peraturan dan menyusun struktur penempatan sehingga pekan ‘koboi’ itu menjadi pekan besar. Melewati masa, usahanya membangunkan Kuala Lumpur semakin bermakna apabila kota itu dipilih menjadi ibu negeri Selangor seterusnya Wilayah Persekutuan dan ibu negara Malaysia .

Bagaimanapun Yap menyedari, jauh perjalanan kisah hidupnya membangun kota Kuala Lumpur diharungi dengan seribu erti kepayahan. Dia pernah ditembak, diburu, berperang dan mengalami saat-saat sukar yang meruntun emosi dan jati diri.

Apabila jong yang dinaikinya mendarat di Melaka sekitar 1854, dia disambut saudara jauhnya, Yap Ket Si yang terlebih dulu menetap di Tanah Melayu. Adalah menjadi perkara biasa di kalangan masyarakat Cina untuk membantu saudara mereka yang baru berhijrah ke tanah asing memulakan kehidupan sehingga memperoleh pekerjaan.

Kehidupan awalnya di Melaka banyak dibantu Yap Ket Si dan saudaranya itu menolongnya mendapatkan pekerjaan awal sebagai pelombong timah di Durian Tunggal, Melaka. Bagaimanapun, aktiviti perdagangan dan ekonomi di Durian Tunggal tidak begitu baik menyebabkan Yap berhenti selepas empat bulan. Seterusnya dia merantau ke Kesang dan bekerja di kedai milik seorang lagi saudara jauhnya, Yap Ng.

Yap Ah Loy tinggal di Kesang selama setahun. Atas konflik tertentu, Yap Ng memberi wang kira-kira RM100 dan mengarahkan pemuda itu kembali ke China . Dia yang tidak berani membangkang arahan itu menuju ke Singapura untuk mendapatkan kapal untuk pulang ke China . Dalam perjalanannya ke Singapura, Yap Ah Loy hilang semua wangnya akibat berjudi seterusnya menimbulkan dilema terhadap dirinya.
Dia tidak lagi dapat pulang ke China, malah malu pula untuk terus meminta pertolongan saudaranya.

Dalam kebuntuan, Yap Ah Loy mengatur langkah untuk ke Lukut bagi mencari hidup baru. Lukut ketika itu memang dikenali sebagai pekan yang sibuk di Selangor selepas kawasan bijih timah dijumpai di kawasan itu sekitar 1840-an. Ramai penduduk dari China dibawa masuk untuk melombong timah.

Yap Ah Loy tiba di Lukut pada 1856 dan nasibnya baik apabila diterima bekerja sebagai tukang masak. Menjadi tukang masak memberikan beberapa kelebihan kepadanya - selain makan percuma dan menerima upah, pelombong akan memberikan tips beberapa sen kepadanya apabila mereka mendapat upah bekerja.

Selepas tiga tahun, Yap berjaya mengumpul sedikit wang dan dengan tambahan pinjaman daripada rakannya, dia memulakan perniagaan kecil-kecilan. Yap membeli babi untuk ditukarkan dengan bijih timah daripada pelombong dan bijih yang diperoleh kemudian dijual kepada peraih untuk mendapat sedikit keuntungan. Perniagaannya semakin maju sehingga dia mampu meluaskan perniagaannya ke Sungai Ujong dan Rasah, Negeri Sembilan. Keinginannya untuk menceburkan diri dalam perniagaan menjadi kunci kepada episod kejayaan besarnya.

Dia mula mengenali ramai kenalan antaranya Liu Ngim Kong, panglima kepada Kapitan Cina (ketua masyarakat Cina) Sungai Ujong, Shin Kap. Apabila dia ke Rasah untuk menjalankan perniagaannya, dia akan tinggal di rumah Liu. Ketika itulah juga dia bertemu dengan seorang lagi rakan iaitu Yap Ah Shak dan atas cadangan pemuda itu, Yap diterima menjadi pembantu kepada Liu Ngim Kong seterusnya menyertai kumpulan Shin Kap.

Kehidupannya agak baik sejak menyertai pakatan itu sehinggalah awal 1860 apabila konflik tercetus antara dua ketua suku di kawasan itu berhubung lombong timah. Persengketaan yang semakin buruk itu akhirnya mencetuskan peperangan. Pelombong di kawasan itu turut berpecah kepada dua kumpulan berasingan mengikut sokongan dua ketua suku berkenaan dan satu daripada kumpulan itu diketuai Shin Kap.

Suasana tegang tercetus dengan pembunuhan dan pertempuran berlaku terus menerus sehingga menyebabkan ramai pelombong terkorban.
Dalam peperangan itu, kumpulan Shin Kap paling teruk ditentang lantaran mereka kekurangan senjata.

Ramai ahli kumpulan itu terkorban, manakala mereka yang bernasib baik berjaya melarikan diri ke Lukut dan mendapatkan perlindungan daripada Raja Jumaat (kerabat diraja Riau dan menantu Sultan Selangor, Sultan Muhammad). Seperti nasib kebanyakan ahli kumpulannya, Yap dan rakannya turut cedera dan melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa masing-masing. Liu Ngim Kong yang cedera di kaki akibat terkena tembakan meriam berlindung di rumah rakannya, Yap Fook selama beberapa minggu untuk memulihkan kecederaan.

Shin Kap dan beberapa pengikutnya yang melarikan diri ke dalam hutan pula mula hilang arah dan sesat. Dalam kelaparan akibat kekurangan makanan, mereka merancang untuk ke Sungai Ujong bagi mendapatkan pertolongan daripada sekutu mereka. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila dalam perjalanan ke Sungai Ujong, kumpulan itu ditahan musuh dan kepala Shin Kap dipancung.

Apabila yakin ketuanya sudah dikalahkan, Yap Ah Loy melarikan diri ke dalam hutan dan menumpang perlindungan di sebuah rumah penduduk. Pihak musuh kemudian menjumpainya dan menyerang hendap rumah berkenaan pada waktu malam. Tembakan pihak musuh menyebabkan Yap Ah Loy cedera di paha, tetapi berjaya meloloskan diri ke dalam hutan. Dalam keadaan lemah akibat kekurangan darah dan hanya mampu menunggu ketibaan ajal, Yap dijumpai dan diselamatkan rakannya pada keesokan hari. Mereka kemudian melarikan diri ke Lukut.

Peperangan dahsyat itu akhirnya tamat enam bulan kemudian selepas mengorbankan kira-kira 4,000 nyawa. Pihak bertelagah mula berdamai dan penduduk mula bercampur gaul bagi memulakan kehidupan baru. Satu pilihan raya diadakan untuk memilih Kapitan Cina Sungai Ujong yang baru selepas Shin Kap terbunuh. Yap Ah Shak dipilih dengan sebulat suara, tetapi dia menolak dengan alasan mahu menumpukan kepada perniagaannya. Penolakan Yap Ah Shak menyebabkan penduduk menawarkan pula jawatan itu kepada Yap Ah Loy dan tugas itu diterima pemuda berkenaan.

Hukuman 'kejam' bendung jenayah

SEBAGAI Kapitan Cina, Yap Ah Loy memiliki kuasa seperti ketua di kalangan komuniti Melayu termasuk menjatuhkan hukuman terhadap masyarakat Cina. Beliau memiliki kuasa untuk membuat undang-undang, tetapi tidak boleh mengutip cukai. Beliau memimpin penduduknya hidup dalam keadaan aman dan memiliki hubungan baik dengan masya­rakat Melayu sekitar Kuala Lumpur, termasuk ketua Melayu antaranya Datuk Dagang.

Untuk menghukum penjenayah dan mereka yang bersalah, Yap Ah Loy membina penjara besar yang mampu memuatkan 60 tahanan pada suatu masa selain menggubal peraturan mengikut kesalahan. Contohnya, bagi kesalahan mencuri yang dilakukan pertama kali, pencuri akan diarak di jalanan dengan barang dicuri diikat di belakang dan bahunya manakala kesalahan kedua akan dipotong telinga dan kesalahan kali ketiga dihukum mati.

Hukuman mati yang dilaksanakan Yap bukanlah digantung atau dipotong kepala, tetapi pesalah akan melutut dengan tangannya diikat ke belakang dan pedang akan ditikam ke lehernya.

Bagi kesalahan kecil, pesalah akan dipenjara terlebih dulu sebelum dibicara. Hukuman yang dirangka Yap mungkin kelihatan seperti kejam, tetapi ia nyata berkesan untuk membendung jenayah ketika itu. Malah, sebulan selepas beliau dilantik menjadi kapitan dan mengemukakan undang-undang itu, kecurian tidak pernah berlaku sehingga digambarkan jika ada barang yang terjatuh di tengah jalan, tiada siapa yang berani mengambilnya.

Lanun juga tidak lagi berani merompak kapal di sungai dan bijih dapat dihantar dengan selamat. Yap berjaya menjaga keamanan 10,000 penduduk Cina dengan hanya mengambil enam polis.

Yap Ah Loy dan orang kanannya, Yap Ah Shak akan menjadi majistret dalam kes kecil. Sehingga 1878, kes serius akan dibicarakan di ibu negeri Selangor ketika itu iaitu Klang. Antara 1878 dan 1880, Residen British dan majistret akan ke Kuala Lumpur setiap bulan untuk menjalankan perbicaraan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret.

Sumbangan terbesar Yap Ah Loy adalah menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan di Selangor pada 1880. Kejayaan ini akhirnya menyebabkan Kerajaan Selangor memindahkan ibu negerinya dari Klang ke Kuala Lumpur.

Yap Ah Loy bagaimanapun tidak membina bandar Kuala Lumpur secara berstruktur dengan baik. Jalan sekitar pekan besar itu pada 1882, misalnya, hanyalah seluas empat meter dan sukar untuk dilalui. Kawasan pasar dan kedai adalah kotor dengan sampah bertaburan di tanah sehingga menyebabkan jangkitan cacar, malaria dan pelbagai pe­nyakit merebak dengan kerap. Langkah berjaga-jaga terhadap kebakaran yang diamalkan Yap adalah setiap rumah perlu menyimpan satu tong yang dipenuhi air setiap masa.

Kesannya, pada 4 Januari 1881, seluruh kawasan bandar itu terbakar dan kerugian dianggarkan RM100,000.
Selepas peristiwa kebakaran itu, Yap Ah Loy mengarahkan semua bangunan dibina semula menggunakan batu-bata dan atap daripada jubin. Jalan raya mula dibina secara berstruktur, kawasan lombong dihubungkan dengan kawasan bandar dan lorong dibina dalam bandar de­ngan teratur. Kos sebanyak RM20,000 dilaburkan untuk tujuan itu. Laluan untuk ke kawasan lombong dikatakan masih dikekalkan sehingga kini antaranya di Jalan Ampang, Jalan Pudu dan Jalan Petaling.

Yap Ah Loy juga membina kilang membuat tepung ubi di Jalan Petaling dengan mengimport enjin lapan kuasa kuda. Kilang itu bagaimanapun terpaksa ditutup akibat kejatuhan harga ubi kayu pada 1880. Beliau turut membina tempat perlindungan bagi mereka yang sakit mendapatkan makanan dan perlin­dungan dan kos pengurusan diperoleh daripada levi penyembelihan babi dengan kos RM1 seekor.

Yap turut memainkan peranan besar dalam penubuhan sekolah Cina pertama di Kuala Lumpur dan menyediakan seorang guru besar.
Sepanjang kira-kira tujuh tahun berhijrah ke Tanah Melayu, nasib Yap Ah Loy berubah daripada seorang remaja mentah dan pendatang China kepada kapitan yang mengetuai ribuan penduduk Cina di Sungai Ujong ketika itu.

Profil: Yap Tet Loy

Nama lain: Yap Ah Loy, Yap Mao Lan.
Tempat lahir: Perkampungan Tam Shui di daerah Kwai Yap, Guangdong, China.
Tarikh lahir: 14 Mac 1837
Tarikh kematian: Mac 1885
Sumbangan: membangunkan Kuala Lumpur daripada pekan kecil dikelilingi hutan dan lombong menjadi pekan besar; Ketua Penduduk Cina di Kuala Lumpur.
rujukan: Berita Harian Online

Tokoh AMINUDDIN BAKI

Aminuddin Baki dilahirkan pada 6 Januari 1926 di sebuah kampung dalam daerah kecil Chemor di Perak. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor dari tahun 1932 hingga 1936. Selepas lulus peperiksaan darjah lima beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson , Ipoh . Sekolah tersebut merupakan sekolah Inggeris terbaik dan mempunyai guru yang baik dan berpengalaman. Aminuddin belajar di sekolah tersebut dari tahun 1936 hingga 1941.

Sekitar tahun 1945 hingga 1946 beliau mula menunjukkan minat dengan persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Pada ketika itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudiannya menjadi Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946. Kesatuan ini telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyatukan semua persatuan pelajar di negara ini dan Aminuddin telah dilantik sebagai setiausaha. Pada masa yang sama beliau telah menubuhkan Persatuan Pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada bulan April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada bulan Oktober 1947 beliau diterima sebagai pelajar di Raffles College, sebuah kolej termasyhur.

Pada masa ini UMNO telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union. Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin persatuan pelajar digalakkan berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh kerana itu, Aminuddin dan pemimpin pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh.

Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948. Walau bagaimanapun pada tahun 1949 Aminuddin terpaksa berhenti bergiat aktif dalam persatuan pelajar kerana ditawarkan ke Universiti Malaya, Singapura. Pada ketika itu beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh sahaja.

Semasa di universiti beliau berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman beliau telah mendaftar sebagai guru sambilan di Anglo-Malay Evening School. Beliau telah mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951. Dalam tahun 1950, beliau bergiat aktif dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan. Dalam tahun yang sama beliau telah lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, lulus Ijazah Kepujian Sarjana Sastera

Selepas menamatkan pelajarannya, beliau kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah. Pada tahun 1951 hingga Julai, 1952, beliau telah berkhidmat di Sekolah Anderson. Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Queen.

Beliau meninggalkan Pulau Pinang dengan menaiki kapal SS Canton pada 12 Julai 1952. Aminuddin menamatkan pengajiannya pada bulan Julai 1953 dengan mendapat Ijazah Master of Methods dalam bidang pendidikan. Selepas pulang ke tanahair beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Sumbangan besarnya kepada pelajar dengan memperkenalkan Sejarah Islam tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955 Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960 pula beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman

Pada usia 36 tahun beliau telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor. Pada masa yang sama beliau aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan usaha beliau juga peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil .Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diwujudkan. Beliau telah menubuhkan Lembaga Peperiksaan pada tahun 1963. Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang. Pada ketika itu memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia